M Update, 9/2/2021 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas 402 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM16.08 juta di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang di sini semalam. Barangan rampasan itu dipercayai diseludup dari Thailand dan ia adalah rampasan terbesar dilakukan menerusi Op Benteng Zon Utara (Kawasan Op Merpati) Markas 8 Briged Kelantan, setakat ini.
Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata pasukan rondaan daripada Batalion Ke-4 Rejimen menjumpai dadah berkenaan di dalam 10 guni hitam berlabel teh jenama ‘Guanyinwang’ yang ditinggalkan dua individu mencurigakan di tebing Sungai Golok, kira-kira 10 pagi.
Bagaimanapun, kedua-dua individu itu terus melarikan diri ke sebelah Thailand dengan menggunakan bot selepas menyedari kehadiran pasukan rondaan di tebing sungai berkenaan dan identiti mereka juga tidak dapat dikenal pasti.
Kesemua barangan rampasan ini akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, malam semalam.
Katanya, kejayaan rampasan itu memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng dalam memperkukuhkan sempadan negara ketika pandemik COVID-19 sejak tahun lepas. Penduduk setempat serta semua agensi berkaitan diseru agar terus berkongsi maklumat dan berganding bahu untuk mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.