M Update, 10/2/2020 – Polis masih menjalankan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya walaupun perniagaan sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata aliran lalu lintas masih terkawal kerana pemandu kenderaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang melarang pergerakan rentas daerah serta negeri tanpa alasan kukuh.
“Memang ada tambahan sektor peruncitan dibenarkan kembali operasi, tetapi arahan lain kerajaan masih berkuat kuasa. “Contohnya, rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan. Kita masih buat pemeriksaan kenderaan melalui sekatan macam biasa.
“Aliran trafik dijangka dapat dikawal kerana pemandu kenderaan masih terikat SOP PKP tidak dibenarkan rentas daerah serta negeri,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik sebagai berkata, kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memastikan penugasan pemantauan SOP termasuk penguatkuasaan sekatan jalan raya secara lebih berkesan serta menyeluruh.
Sebelum ini, polis dilaporkan terus tegas menjalankan operasi pematuhan SOP sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan PKP Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.