Input your search keywords and press Enter.

MySejahtera: Daftar Tanggungan Bagi Vaksinasi Mula Pertengahan Mac

M Update, 25/02/2021 – Pendaftaran tanggungan (dependant) untuk vaksinasi COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan pada pertengahan Mac, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

“Kemudahan ini membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka yang tidak mempunyai MySejahtera bagi penerimaan vaksin,” kata Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam sidang media semalam.

Pada awalnya, heboh di media sosial mengatakan hanya pengguna Apple sahaja boleh mendaftar. Ini tidak benar.

“Kita telah menghantar permohonan mengemaskini MySejahtera untuk semua sistem operasi (OS) talian bimbit, tetapi platform-platform ini mengambil tempoh masa yang berbeza-beza untuk memaparkan perubahan yang telah dibuat di platform masing-masing,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru orang ramai yang belum memuat turun aplikasi atau mengemas kini MySejahtera untuk berbuat demikian bagi membolehkan logo Vaksinasi COVID-19 dipaparkan.

“Secara ringkasnya, anda perlu mengesahkan maklumat anda, kemudiannya menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan kesihatan dan seterusnya, tekan butang hantar,” katanya.

Beliau berkata maklumat yang dihantar akan dipadankan (cross-checked) dengan maklumat yang terkumpul di MySejahtera seperti rekod kesihatan daripada pusat kesihatan kerajaan atau swasta. “Maklumat yang diterima menerusi pendaftaran di MySejahtera akan diproses bagi menyediakan senarai penduduk di Malaysia bagi mendapatkan vaksinasi mengikut keutamaan,” katanya.

“Selain aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang vaksin covid.gov.my dan talian hotline dijangka bermula 5 Mac ini,” katanya. Beliau berkata pendaftaran secara manual juga akan diperkenalkan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

“Kita juga akan menggerakkan program sukarelawan untuk menjayakan program bantuan bagi kawasan luar bandar dan pendalaman,” katanya.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022. – Bernama