Input your search keywords and press Enter.

Larangan Pembakaran Terbuka Di Selangor, Pahang Dan Johor

M Update, 04/03/2021 – Kuala Lumpur: Selangor, Pahang dan Johor diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, pihak yang sabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

“Semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Setakat ini Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Rompin mencatat 90 berbanding 133 semalam manakala Johan Setia di Klang mencatatkan 91 berbanding 188 sehari sebelumnya.

Semalam Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca kualiti udara tidak sihat disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka di dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering bermula sejak pertengahan Februari lalu sehingga kini. – HM Online