M Update, 12/03/2021 – Kebenaran pergerakan dan aktiviti pelancongan antara negeri dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilihat satu langkah permulaan positif merancak dan memulihkan industri pelancongan.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, langkah itu bukan saja memberi pilihan kepada orang ramai dalam negeri terbabit melancong, malah membantu pengusaha yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Kita memang mengalu-alukan langkah kerajaan ini dan ia juga disambut baik pengusaha serta penggiat pelancongan terutama pengusaha kenderaan berkaitan, agensi serta hotel. Walaupun bersasar, orang ramai di negeri terbabit masih boleh melancong dengan syarat melalui agensi pelancongan yang dilantik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Ini sudah tentu akan membantu pengusaha terutama mereka yang sudah berputus asa dengan penutupan operasi pelancongan sebelum ini. Kita harapkan ini akan memberi peluang dan merancakkan kembali sektor pelancongan yang lumpuh,” katanya. Katanya, kebenaran pelancongan bersasar ini dijangka mendapat sambutan baik dari kalangan masyarakat yang berada di negeri PKPP.
Kebenaran ini akan membolehkan pergerakan orang ramai dalam negeri berstatus PKPP lebih terancang, teratur dan berdisiplin sekali gus menjamin keselamatan mereka.
“Saya yakin mereka yang terbabit dalam industri ini juga bersedia memikul tanggungjawab dalam menguruskan segala aspek termasuk penjarakan fizikal dalam kenderaan, surat kebenaran pergerakan dari pihak berkuasa dan apa juga berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Gelembung pelancongan bersasar dibenarkan di antara negeri PKPP dengan syarat pergerakan secara persendirian tidak dibenarkan selain menggunakan perkhidmatan agensi dan syarikat kenderaan berdaftar dengan Motac.
Setakat ini, kebenaran pergerakan ini tertakluk untuk tujuh negeri berstatus PKPP iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Labuan, Putrajaya dan Perlis serta turut terpakai kepada Langkawi yang ditukarkan dari PKPB kepada PKPP.
Sumber : HM Online