M Update, 01/04/2021 – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dengan gerakan atau kumpulan antivaksin.
Beliau berkata, mereka yang didapati berbuat demikian termasuk membuat, menerbit atau mengedar kenyataan, khabar angin atau berita berhubung antivaksin, boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, beliau turut mengajak penjawat awam mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi Covid-19 ini dapat membantu membasmi wabak ini, seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera,” katanya.
Mohd Zuki adalah antara penerima vaksin Covid-19 yang telah melengkapi dos beliau, dengan suntikan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Februari dan dos kedua pada 18 Mac. – Bernama