Input your search keywords and press Enter.

Polis Kesan Wanita Beri Anak Dua Tahun Hisap Vape

M Update, 05/05/2021 – Polis sedang mengesan pemilik yang memuat naik satu video memaparkan tindakannya memberi seorang kanak-kanak dipercayai berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya telah sedia maklum tentang penularan video terbabit dan sedang mengesan suspek dan lokasi kejadian.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengesan lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan tindakan menyelamatkan kanak-kanak tersebut dilakukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Satu rakaman video memaparkan tindakan seorang wanita memaksa seorang kanak-kanak dipercayai anaknya sendiri menghisap vape tular sehingga menerima kecaman daripada netizen. Klip video berdurasi 12 saat itu menunjukkan kanak-kanak itu yang sedang menonton video animasi kanak-kanak di telefon bimbit diberi vape untuk dihisap sebanyak dua kali.

Menerusi video tersebut jelas reaksi kanak-kanak berkenaan tidak selesa dipaksa menghisap vape. Namun selepas dikecam netizen, wanita terbabit meminta orang ramai tidak lagi menyebarkan video itu dan memohon maaf kerana tidak sangka tindakannya memuat naik video itu mengundang persepsi tidak elok selain bimbang apa-apa terjadi kepada anaknya. – SH Online