M Update, 21/05/2021 – Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali kecewa dengan masyarakat dan badan antarabangsa dalam isu kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa seharusnya meletakkan tekanan buat Israel untuk menghentikan jenayah yang dilakukan ke atas penduduk Palestin, sekali gus mengheret mereka kerana mencabul undang-undang antarabangsa. Ia penting bagi memastikan penduduk Palestin mempunyai masa depan yang cerah, sekali gus diberi kebebasan untuk mengadakan pilihan raya mereka sendiri.
Beliau turut menyifatkan ketidaksepakatan membabitkan negara Arab Islam menyukarkan lagi usaha menghentikan penindasan dan kekejaman dilakukan Israel.
“Keutamaan kita adalah untuk menghentikan serangan, …masyarakat antarabangsa harus meletakkan tekanan buat Israel untuk hentikan jenayah ini. Malangnya mereka tidak mengutuk tindakan dibuat Israel menyebabkan regim itu berasa kebal sehingga berterusan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Masyarakat antarabangsa percaya terhadap hak asasi manusia namun kenapa mereka tidak bersuara untuk menghentikan pembunuhan terhadap penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak? Malah Israel juga mengambil kesempatan dengan ketidaksepaduan negara Islam dalam isu Palestin ini dengan terus menceroboh tanah milik penduduk Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sesi webinar bertajuk ‘Serangan Israel ke atas Palestin: Antara Keganasan, Politik dan Keadilan Antarabangsa’.
Sesi webinar itu turut disertai Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar dan Pengerusi Humanitarian Care Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.
Pada masa sama, Walid berkata, hingga kini pihaknya dimaklumkan angka korban penduduk Palestin sudah mencecah kepada 241 dengan lebih 780 lagi cedera.
Dalam pada itu, Walid turut menzahirkan penghargaan buat kerajaan dan rakyat Malaysia yang terus bersuara untuk rakyat Palestin selain melahirkan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi termasuk Wisma Putra.
Sementara itu, Chandra berkata, serangan Israel terhadap Palestin adalah bermotifkan pembersihan etnik untuk menghapuskan Palestin dari dunia.
Beliau berkata, bagi resolusi jangka masa panjang ia harus menjurus kepada membenarkan penduduk Palestin untuk diberi kebebasan bagi menentukan masa depan mereka sendiri.
Hafidzi pula berpendapat, isu Palestin bukanlah berkisarkan agama namun ia adalah isu kemanusiaan yang memerlukan semua masyarakat tanpa mengira fahaman untuk menyatakan suara tegas mereka.
“Melihat Israel menyerang umat Islam yang sedang bersolat di Masjid Al-Aqsa ketika serangan dibuat ia tidak memerlukan suatu undang-undang untuk melihat ia sebagai satu jenayah namun ia jelas menyalahi aspek kemanusiaan,” katanya. – BH Online