Input your search keywords and press Enter.

Peniaga Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Isteri Ketiga

Foto : HM Online

M Update, 17/06/2021 – Peniaga yang mempunyai tiga isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya pada 4 Mei lalu.

Bagaimanapun, Rosmaini Abd Raof, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V M Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap, Jahidah Nordin@Sylvester, 43, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin pada 6 pagi, 4 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 berikutan kes itu serius kerana menyebabkan isteri tertuduh dilaporkan koma selain memberi pengajaran kepada masyarakat. Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminannya terhadapnya dikurangkan kerana dia menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran selain diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa. Hakim turut menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan bagi pengurusan dokumen. – HM Online