M Update, 30/06/2021 – Seorang warga emas berusia 120 tahun lengkap menerima dua dos suntikan vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Wanita berkenaan, Siti Liah Mamat dipercayai wanita tertua di Kelantan dan individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria menjadi antara 84 orang penerima suntikan vaksin di SPPV HUSM. Siti Liah berkata, dia bersyukur kerana sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dan menasihatkan sesiapa yang ditawarkan vaksin supaya mengambilnya untuk perlindungan diri.
“Jika saya yang sudah berusia lebih satu abad ini tidak mempunyai kesan sampingan selepas mengambil suntikan vaksin, mengapa golongan warga emas lain perlu takut dan percaya kepada perkara tidak sahih. Saya berterima kasih kepada HUSM di atas kerjasama diberikan dan proses suntikan dos kedua yang dilakukan secara pandu lalu ini amat cepat,” katanya kepada media ketika ditemui di SSPV HUSM, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Liah masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad, selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata. Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia dikongsi ibu kepada 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit apabila ramai bertanya petua penjagaan diri walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.
Anaknya, Manura Mohd Idris, 71, pula berkata selepas ibunya menerima suntikan vaksin pertama pada 9 Jun lalu, dia tidak mengalami kesan sampingan, malah berasa lebih sihat. Ketika menerima suntikan dos kedua hari ini, ibu kelihatan bersemangat dan memberitahu berada dalam keadaan baik selepas disuntik ketika di bawah pengawasan selepas menerima suntikan. Malah malam tadi, ibu tidur lewat daripada kebiasaannya kerana teruja untuk melengkapkan dos suntikan vaksin,” katanya. – BH Online