M Update, 03/09/2021 – Tempoh moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Disember ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Bagaimanapun, katanya, pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.
Sebelum ini, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 Sept ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dengan mengambil kira maklum balas orang ramai, Ka Siong berkata, kementerian juga bersetuju untuk membuka semula kaunter JPJ dan Puspakom dengan kapasiti 100 peratus, iaitu secara ‘walk in’ (jumpa terus) bermula Isnin ini (6 Sept) bagi semua urusan berkaitan.
“Mulai 6 September juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Jumaat.
Kata Ka Siong, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan. – SH Online