Input your search keywords and press Enter.

Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Diwujud

Mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar akan menjadi fokus utama program transformasi digital Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Melalui PEDi, kerajaan akan membina kira-kira 1,000 PEDi yang dijangka dapat memberi lonjakan baharu kepada ekonomi rakyat.

Transformasi pusat internet desa yang kini hanya terhad kepada perkhidmatan kemudahan asas internet kepada PEDi akan menyediakan modul latihan kepada rakyat untuk memiliki kemahiran dalam bidang ekonomi digital – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa

Lebih 800 PEDi akan diwujudkan dan hampir 200 lagi akan dibina di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai kemudahan itu, selain keutamaan di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Orang kampung cuma perlu pergi ke situ dan mengikuti latihan yang disediakan seperti menjenama dan memasarkan produk, membuat klip video mengenainya, pengiklanan berkesan dan cara menyertai e-dagang.

Menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mentransformasi PEDi sebagai Pusat Sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital, bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar.