Tangisan kegembiraan dan pelukan keluarga tercinta menyambut kepulangan seorang rakyat Malaysia yang setahun lebih terkandas di Singapura kerana tuntutan kerja.
Lebih menyayat hati apabila Bali Anak Jalang, 36, berasal dari Sarawak yang kali terakhir pulang ke Malaysia pada Oktober tahun lepas, berkata dia tidak pernah merangkul anak bongsunya yang baru berusia lima bulan.
Bapa kepada lima anak yang bekerja di republik itu sejak 16 tahun lepas sebagai juruteknik berkata, dia kehilangan kata-kata selepas melihat isterinya Donna Alicia, 36, bersama anak-anaknya menunggu di luar pintu ketibaan.
“Saya tidak terfikir untuk makan hari ini, dan terasa susah hendak tidur kerana hendak berjumpa dengan anak-anak dan isteri sahaja.
“Perasaan saya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, selepas dapat tahu Malaysia dan Singapura setuju laksana Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat, jadi saya tidak lepaskan peluang untuk pulang ke tanah air,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini hari ini.
Bali yang menetap di Pasir Gudang, di sini berkata usaha untuk pulang ke tanah air juga adalah atas bantuan daripada majikannya yang membantu memastikan dia dapat memperoleh tiket bas.
“Untuk dapat tiket pulang ke Malaysia di Singapura agak mencabar sebab ada kesesakan laman sesawang untuk tempah tiket, tetapi akhirnya berjaya atas bantuan majikan dan sumber manusia yang bantu sampai saya dapat tiket,” katanya.
Bagi pekerja di bahagian perolehan sebuah syarikat yang mahu dikenali sebagai Dennis, 32, makanan tempatan antara yang paling dirindui selain keluarga.
Dia berkata peluang bercuti selama seminggu akan dimanfaatkan dengan bercuti bersama keluarga ke destinasi yang belum difikirkan lagi.
“Paling utama saya nak pergi kedai mamak nak makan roti canai, nasi lemak dan banyak lagi sebab walau macam mana hebat negara orang, kita tetap akan rindu dan rasa negara kita paling istimewa.
“Saya sudah dua tahun sejak pandemik COVID-19 tidak pulang ke kampung jadi rasa gembira dan berdebar untuk jumpa keluarga di Kota Tinggi,” katanya yang telah bekerja di Singapura selama lapan tahun.
Sementara itu, Pengurus Operasi Kavin Raj Gunalan, 24, berkata usaha pemimpin negara termasuk Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad untuk memastikan VTL ini menjadi kenyataan, amat dihargai rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura.
Dia berkata pengalaman ‘terkandas’ di negara orang sedikit sebanyak mendidik dirinya untuk menghargai keistimewaan negara sendiri.
“Saya mewakili rakan-rakan saya yang berada di Singapura amat bersyukur dan menanti-nantikan detik ini kerana bukan senang untuk mengawal emosi kita apabila sudah lama tidak pulang dalam tempoh lama ke negara sendiri.
“Apa yang paling saya rindukan pertama tentulah keluarga, makanan kita di sini yang unik dan sedap dan saya rindukan suasana meriah dan harmoni di Malaysia dan selepas ini saya akan pergi bercuti bersama keluarga dan juga rakan-rakan,” katanya yang akan bercuti selama tiga bulan.
Sumber : Bernama