Hari ini merupakan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan di negeri terbesar negara ini, dengan pencalonan berlangsung antara jam 9 dan 10 pagi.
Sejumlah 1,252,014 pengundi berdaftar layak untuk mengundi pada 18 Disember ini, dengan pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember 2021.
PRN terpaksa ditangguhkan pada pertengahan tahun ini disebabkan pandemik COVID-19, demi menjaga keselamatan rakyat.
Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Januari hingga Ogos, dan seterusnya di Sarawak dilanjutkan selama enam bulan lagi, namun ia ditarik kembali pada 3 November atas perkenan yang di-Pertuan Agong, yang memberi laluan kepada PRN Sarawak.
Bagi mengelak penularan jangkitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan aktiviti kempen dalam kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing, namun kempen di luar kawasan yang ditandingi tidak dibenarkan.
Ceramah serta syarahan umum bagaimanapun dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri yang memiliki liputan internet lemah, dan jumlah yang hadir tidak dibenarkan melebihi 50 peratus daripada kapasiti venue, atau 150 orang pada satu-satu masa.
Sumber : Bernama