M Update, 19/01/2022 – BELUM pun reda dengan pelbagai isu di negara ini, timbul pula kontroversi yang tidak sedap didengar iaitu berhubung penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID di semua lebuh raya mereka bermula Sabtu lalu, sekali gus lorong Touch ‘n Go (TnG) dan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat.
Kesannya pada Sabtu lalu, ramai pengguna jalan raya merungut dan marah apabila terperangkap dalam kesesakan di lorong tol dipercayai akibat kegagalan sistem RFID.
Lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa beralih ke lorong TnG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi menyebabkan mereka dikenakan caj maksimum.
Berikutan itu tersebut, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS dan TnG memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu. Fadillah meminta pihak terbabit segera menyelesaikan semua masalah supaya tidak menyusahkan pengguna jalan raya.
Tidak dinafikan penggunaan RFID mungkin memberi banyak kelebihan pada masa akan datang. Bagaimanapun, sistem itu kini dilihat sebagai menyusahkan, malah pengguna terpaksa mengeluarkan kos untuk memasang pelekat RFID. Pengguna juga nampaknya kecewa sekiranya benar lorong TnG dan Smart Tag dimansuhkan pada masa akan datang.
Bagi menyelesaikan masalah itu, lebih baik PLUS memberi pilihan kepada pengguna membuat pembayaran tol. Perlu akui, tidak semua rakyat Malaysia yang faham menggunakan teknologi baharu. Mereka yang datang dari luar bandar atau golongan berusia lebih suka penggunaan kad tol manual dan membayar secara tunai seperti sebelum ini.
Melihat kepada komen netizen di laman sosial pun, ramai berpendapat tidak perlu memansuhkan lorong TnG dan Smart Tag. Sampai ada yang merungut: “Nak bagi duit pun payah”.
Tak perlu ghairah mengejar teknologi baharu sehingga terlupa kesannya terhadap rakyat yang akhirnya menuding jari menyalahkan kerajaan.
Sumber : SH Online