Input your search keywords and press Enter.

Pelajar IPT Kembali Ke Kampus Mulai 1 Mac

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 10/02/2022 – Kerajaan membenarkan pelaksanaan kemasukan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara berperingkat bermula pada 1 Mac ini.

Kemasukan tersebut turut membabitkan pelajar daripada universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta. KPT dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.

Pelajar pulang ke kampus juga wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Antara SOP tersebut adalah penetapan jumlah kemasukan pelajar kepada sebanyak 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing dan hanya membenarkan pelajar serta staf lengkap vaksinasi untuk masuk ke kampus.

Manakala, bagi pelajar dan staf IPT tidak divaksinasi lengkap, mereka perlu membuat ujian RT-PCR dan keputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus. Selain itu, ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM.

Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, mereka yang hanya lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia. Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama lima hari.

Selain itu, IPT juga mesti mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat. Bagi pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hibrid dan/atau secara dalam talian turut dibenarkan kepada IPT.

Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh KKM.

Semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf dan pelajar diminta agar sentiasa mematuhi SOP telah ditetapkan dengan penuh berdisiplin dan bertanggungjawab. – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Sekiranya ibu bapa, penjaga mahupun pelajar yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh segera hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.