Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Malaysia Di Ukraine Diminta Hubungi Kedutaan

M Update, 14/02/2022 – Semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan masih belum mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kiev digesa supaya segera menghubungi dan mendaftar dengan kedutaan.

Ia susulan kebimbangan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dengan banyak negara kini menggesa rakyatnya meninggalkan negara itu, selain mengurangkan bilangan kakitangan diplomatik.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Wisma Putra sedang memantau perkembangan semasa di Ukraine, terutama mengenai keselamatan 20 warga Malaysia yang berdaftar. Jumlah berkenaan termasuk dua pelajar, sembilan kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka bagi memastikan keselamatan serta memberikan bantuan konsular jika diperlukan.

Wisma Putra menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv @MYEmbKyiv untuk menghubungi dan berdaftar dengan kedutaan dengan segera.

“Semua rakyat Malaysia di Ukraine dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan, antara negara yang menggesa warganegara mereka meninggalkan Ukraine ialah Amerika Syarikat, Jerman, Itali, Britain, Ireland, Belgium, Luxembourg, Belanda, Kanada, Norway, Estonia, Lithuania, Bulgaria, Slovenia, Australia, Jepun, Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia di Ukraine yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi pihak kedutaan secara terus di Kyiv mahu pun melalui e-mel mwkiev@kln.gov.my atau malaysia@embkiev.com. Mereka juga boleh menghubungi kedutaan di talian +380 442 855 271 atau +380 988 387 885 (selepas waktu bekerja).

Ini akan memudahkan pihak kedutaan menghulurkan bantuan konsular kepada pihak memerlukan. Semua rakyat Malaysia di Ukraine dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan mereka serta mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.