Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Malaysia: Lelaki Lebih Ramai Daripada Wanita

M Update, 14/02/2022 – Jumlah terkini penduduk lelaki di Malaysia lebih ramai berbanding perempuan iaitu sebanyak 52.3 peratus daripada keseluruhan 32.4 juta penduduk berdasarkan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah penduduk perempuan pula seramai 47.7 peratus. Ia menjadikan nisbah jantina bagi penduduk adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita. Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 bertemakan ‘Data Anda Masa Depan Negara’ di Dewan Canselor, Management & Science University (MSU), di sini pada Isnin. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Perangkawan merangkap Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Ismail Sabri memberitahu, bancian juga menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurut beliau, dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci dan terdapat 8.2 juta isi rumah (IR) dengan purata saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8. Katanya lagi, daripada 32.4 juta penduduk yang dibanci itu ia merekodkan sebanyak 91.7 peratus atau 29.8 juta adalah warganegara manakala 8.3 peratus (2.7 juta) adalah bukan warganegara.

Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 seratus diikuti oleh etnik Cina ( 23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan lain-lain ( 0.7 peratus). Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun),” ujarnya.

Ismail Sabri menambah, jumlah warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas yang direkodkan pula adalah sebanyak 10.4 peratus atau seramai 3.4 juta berbanding pada tahun 2010 sebanyak 8.0 peratus (2.2 juta). Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020.

Begitulah antara penemuan Banci 2020 yang akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, di samping itu ia dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs),” jelasnya. – SH Online