M Update, 04/03/2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memberi jaminan solat sunat Tarawih dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada Ramadan ini.
Beliau berkata, pelaksanaan solat Tarawih berkenaan akan dilaksanakan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak. Katanya, setakat ini SOP itu masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi COVID-19 dalam negara masih mencatatkan angka melepasi 20,000.
“Insya-Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya penularan COVID-19 tidak serius. Jika semakin teruk, kita akan ikut nasihat KKM dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.
“SOP nanti akan dilonggarkan, bergantung kepada keadaan semasa. Kita akan ikut nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan buat panduan Tarawih dari situ,” katanya.
Idris berkata, SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing. – BERNAMA