Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Hantar Surat Ke Negara Asing Guna Bahasa Melayu

M Update, 24/03/2022 – Kementerian Luar memaklumkan Wisma Putra akan mula menghantar surat rasmi ke negara lain menggunakan Bahasa Melayu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan terus menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat dan pertemuan antarabangsa, termasuk sidang kemucak ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jelasnya, ia selaras dengan kerangka dasar luar Malaysia serta menyokong hasrat dan cita-cita Perdana Menteri yang mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Bagi penggunaan Bahasa Melayu di mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri, ini akan diteruskan, termasuk dua mesyuarat besar yang akan dihadiri beliau tahun ini, iaitu sidang kemuncak ASEAN dan ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB.

“Kami juga akan secepat mungkin mula menghantar surat dari Kementerian Luar ke pihak negara asing menggunakan Bahasa Melayu, dan disediakan dengan terjemahan yang bersesuaian dengan mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan penghantaran surat ke negara lain menggunakan bahasa kebangsaan adalah amalan biasa bagi kebanyakan negara. Sebagai contoh, katanya, negara Arab menghantar surat ke Wisma Putra menggunakan bahasa Arab, dan disertakan dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

“Kami akan memulakan, misalnya menghantar surat atau perutusan ke negara Arab menggunakan Bahasa Melayu dan ia akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya juga sudah memulakan usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu laras bidang perhubungan antarabangsa dalam kalangan diplomat negara. Pada masa sama, Kementerian Luar juga memberi fokus untuk meningkatkan penguasaan diplomat negara bagi lima bahasa yang digunakan di PBB, iaitu Bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Russia dan Sepanyol, selain Bahasa Inggeris.

“Kami sudah ada penutur bagi kelima-lima bahasa itu, tetapi kita perlu meningkatkan jumlah dan kualiti penutur dalam kalangan pegawai diplomat negara. Antara langkahnya ialah sebelum diploma itu dihantar ke negara tertentu, misalnya negara Arab, kita pastikan mereka mengikuti kursus dan menguasai tahap minimum Bahasa Arab, atau mengutamakan pegawai yang menguasai bahasa itu,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Luar juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kembali mewujudkan elaun bahasa ketiga, yang turut boleh diberikan kepada pegawai kementerian lain yang bertugas di luar negara.

Wisma Putra juga, katanya, sedang meningkatkan jumlah penterjemah bagi bagi pelbagai bahasa, khususnya bagi menghadiri mesyuarat dan pertemuan antarabangsa yang dihadiri Perdana Menteri.

“Walaupun ada penterjemah profesional di luar, tapi oleh kerana ini membabitkan hubungan bilateral dan mesyuarat tertutup yang ada kalanya membabitkan kerahsian kerajaan, kami tidak boleh menggunakan khidmat penterjemah profesional dengan serta merta,” katanya.

Beberapa perancangan lain yang digariskan Saifuddin termasuk meneliti keperluan menubuhkan Unit Penterjemah di Wisma Putra, selain mencadangkan diwujudkan jawatan Atase Bahasa dan Kebudayaan.

“Selain itu, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menterjemah istilah diplomatik daripada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, dan akan menerbitkan buku istilah diplomatik dalam Bahasa Melayu sebagai panduan untuk diplomat kita,” katanya. – BH