M Update, 25/03/2022 – Kira-kira dua juta penerima vaksin Sinovac diunjurkan berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak.
“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan unjurkan bahawa mungkin akan ada dua juta penerima vaksin berisiko hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen semalam.
Sebelum ini, tempoh untuk mendapatkan dos penggalak bagi penerima vaksin itu sebelum status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dinyatakan sebagai tidak lengkap berakhir 28 Feb lepas, sebelum ia dilanjutkan kepada 31 Mac ini.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan keperluan untuk penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bukan sahaja untuk memudahkan urusan seharian di Malaysia, sebaliknya ia turut menjadi keperluan beberapa negara luar seperti Singapura.
Bagi menggalakkan penerima vaksin jenis itu mendapatkan suntikan penggalak, perbincangan dengan Singapura juga turut dilakukan susulan persetujuan kedua-dua negara membenarkan pengembara lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19.
“Saya bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, mereka (Singapura) juga menganggap divaksinasi sepenuhnya untuk Sinovac (penerima) sebagai tiga dos (termasuk penggalak), jadi jika anda ingin menikmati perjalanan ke Singapura, tanpa kuarantin, anda tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Pengecualian kuarantin dan ujian COVID-19 bagi perjalanan darat Malaysia-Singapura itu turut merangkumi ujian prapelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April ini. – Bernama