M Update, 06/04/2022 – Ketika pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka kembali pada 1 April, isu lama yang membangkitkan kemarahan pihak berkuasa dan rakyat Malaysia timbul kembali – pemandu Singapura membeli petrol bersubsidi negara ini yang lebih murah.
Bloomberg melaporkan, penguat kuasa di Malaysia berikrar lebih berhati-hati dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha runcit bahan api yang ditangkap menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan dari negara luar.
Beribu-ribu kenderaan telah melintasi sempadan Singapura-Malaysia sejak ia dibuka sepenuhnya pada awal bulan ini, menamatkan penutupan disebabkan kawalan penularan Covid-19 selama kira-kira dua tahun.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) Johor berkata, ia akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemilik stesen yang ditangkap menjual bahan api itu kepada kenderaan berpendaftaran asing, dengan syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.
Malaysia sebelum ini mengharamkan penjualan petrol RON95 kepada kereta yang tidak didaftarkan di dalam negara kerana gred petrol itu diberi subsidi untuk rakyat tempatan.
Singapura pada masa ini menjual gred minyak itu pada harga lebih daripada empat kali ganda berbanding Malaysia. Keinginan pengguna untuk petrol yang lebih murah datang apabila harga minyak global melonjak.
Singapura sebelum ini mewajibkan semua kenderaan berpendaftaran tempatan mengisi sekurang-kurangnya tiga perempat daripada tangki minyak mereka sebelum memandu keluar dari negara itu.-Awani