M Update, 25/04/2022 – Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.
Video berkenaan dirakam pegawai wanita terbabit dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.
Dalam video berdurasi seminit 38 saat itu, pegawai polis wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilihat menerangkan sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan. Dia juga sempat menyampaikan salam dan memperkenalkan beberapa anggota dan pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu.
Selain itu, pegawai polis wanita itu turut kelihatan teruja apabila siaran TikTok itu mendapat 1,900 tontonan secara langsung, sambil meminta sokongan untuk mencapai sasaran 100,000 pengikut di akaun media sosialnya itu.
Meninjau komen netizen, banyak kecaman dizahirkan terhadap tindakan itu termasuk ada mendakwa pegawai polis wanita itu mengambil peluang ketika operasi untuk mencari ‘content’ atau bahan bagi tujuan mempromosikan akaun TikTok.
Malah, ada antara dizahirkan mengatakan pegawai itu mungkin terlalu teruja menyertai operasi dan pemeriksaan polis yang berkemungkinan pertama kali disertainya.
Tidak kurang juga komen meminta tindakan dikenakan terhadap pegawai polis wanita itu yang disifatkan sebagai melanggar kod etika PDRM, selain meminta PDRM memilih pegawai atau anggota yang berkelayakan untuk menyertai pasukan polis bagi mengelak perkara serupa berulang.
Difahamkan, ini bukan kali pertama tindakan sebegini berlaku, di mana sebelum ini seorang anggota polis wanita di Kelantan disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kerana mempamerkan aksi tarian ketika lengkap memakai uniform PDRM sewaktu menjalankan tugas.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat ketika itu berkata, perbuatan anggota terbabit bukan sahaja menjejaskan imej jabatan, malah melanggar kod etika PDRM. – Berita Harian