M Update, 12/05/2022 – Ubat antiviral Paxlovid yang digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 ternyata berkesan dan golongan yang berisiko tinggi tiada paksaan untuk mengambil suntikan dos penggalak kedua.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) mengesyorkan pemberian dos penggalak kepada individu berusia 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.
Menurutnya, individu dewasa berusia 18 hingga 59 juga boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar. Katanya, hal sama juga bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun boleh ditawarkan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.
“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama sudah terbukti boleh mendapat perlindungan optima daripada jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sehingga 9 Mei lalu seramai 173 pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.
Paxlovid dibekalkan untuk rawatan pesakit Covid-19 di 512 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan 78 hospital kerajaan bermula 15 April lalu.
Begitupun, Khairy berkata, disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity) terutama kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.
Menurutnya, setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.
“Pesakit Covid-19 dalam kumpulan yang tersenarai ini boleh hadir ke CAC, Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan dengan rawatan Paxlovid,” katanya. – HM