M Update, 18/05/2022 – Kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tidak mempunyai kaitan besar dengan tindakan India melarang eksport barangan itu ke luar negara.
Sebaliknya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permintaan tinggi terhadap sesuatu jenama tepung gandum dipercayai antara punca berlakunya kekurangan bekalan itu di pasaran.
Mengulas lanjut, katanya, negara hanya bergantung terhadap peratusan kecil import gandum dari India, sekali gus tidak memberi kesan signifikan kepada bekalan.
“Negara bergantung 85 peratus gandum dari Australia, manakala 15 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India. Jadi larangan dari India tidak beri kesan secara jilid.
“Ia mungkin ada beberapa sebabnya (kekurangan bekalan di pasaran), antaranya kerana permintaan terhadap suatu jenama itu sangat popular hingga ramai ingin membeli jenama tertentu.
“Ia menjadikan bekalan itu cepat habis…bukan kerana India sahaja, namun di seluruh dunia memang ada kesan rantaian bekalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Salam Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
India Sabtu lalu, mengumumkan melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.
Pada masa sama, Alexander berkata buat masa ini pihaknya tidak menerima aduan atau mengesan secara serius kekurangan tepung gandum di pasaran. Sebaliknya berkata, sehingga kini maklumat mengenai kekurangan bekalan tepung diperoleh melalui media sebelum siasatan dilakukan di Melaka.
“Namun ia hanya membabitkan kes terpencil dan setakat ini bukan menyeluruh, namun kita tetap mengambil serius selain menyiasat sebarang maklumat. Setakat ini kekurangan adalah tidak kritikal, namun kita sentiasa pantau bekalannya supaya tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata, jika berlaku peningkatan harga tepung gandum di pasaran, ia bukanlah daripada bekalan yang bersubsidi. Katanya, penggunaan tepung gandum bersubsidi adalah sebanyak 100,000 tan metrik di negara ini setahun dan 192,959 tan metrik pula tidak bersubsidi.
Alexander berkata, mana-mana peniaga yang bertindak mencatu atau menyembunyikan bekalan tepung di pasaran akan berdepan tindakan tegas daripada pihak kementerian. Katanya, tindakan boleh diambil melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 yang boleh membawa kepada hukuman denda dan kompaun.
“Kita juga akan melancarkan suatu inisiatif bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan bersubsidi atau sebaliknya, supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan bersubsidi sewenang-wenangnya,” katanya.
Sumber: Berita Harian