M Update, 02/06/2022 – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam sidang media khas, hari ini.
“Apakah akan ada PT3 untuk tahun 2022? Jawapannya pada 2022 PT3 dimansuhkan. Jadi, mulai tahun ini tidak ada PT3… ia dimansuhkan.
“Sewaktu sebelum pandemik, PT3 adalah dilaksanakan di sekolah di mana guru-guru menjana soalan-untuk murid-murid mereka dan peperiksaan dilaksana di di bawah kawalan sekolah, dan hari ini (KPM) membuat keputusan bahawa PT3 akan dimansuhkan mulai tahun ini,” katanya dalam sidang media tersebut, di sini.
Sebelum ini, KPM memaklumkan PT3 bagi tahun 2021 dibatalkan.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, dalam usaha untuk memperkasa sistem pendidikan, kementerian akan menggantikan pemansuhan-pemansuhan ujian tersebut termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pendekatan Penilaian Sumatif.
“Dalam konteks ini bagi memperkasan Penilaian Sumatif, kita akan memantapkan ujian akhir sesi akademik di sekolah rendah untuk lima mata pelajaran (darjah 4 hingga 6), manakala di sekolah menengah melibatkan semua mata pelajaran.
“Soalan ini akan disediakan melalui satu bank soalan. Pihak kementeian akan menyediakan soalan mengikut tahap tertentu dan dijana oleh guru di sekolah. Set soalan ujian akhir tahun ini oleh guru sekolah di mana pelaksanaannya lebih fleksibel,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, bagi sekolah rendah, KPM hanya akan membuat soalan membabitkan lima subjek iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan bagi subjek-subjek lain akan disediakan oleh guru-guru di sekolah.
“Kita lihat di sini lima mata pelajaran ini akan membantu guru-guru untuk melihat anak-anak didik mereka berjaya menguasai mata pelajaran yang dipelajari mereka pada akhir tempoh pembelajaran tersebut.
Bagi pihak KPM, maklumat-maklumat ini akan dapat membantu kementerian secara lebih menyeluruh untuk melihat di seluruh negara tentang pencapaian murid-murid dalam konteks subjek yang disebut tadi.
“Ini membantu kita melihat khususnya dalam perkara literasi bagi membolehkan intervensi dibuat di peringkat negeri, daerah, dan sekolah,” katanya.
Menerusi pendekatan itu juga, Radzi berkata, pihak sekolah boleh menetapkan tarikh-tarikh peperiksaan yang akan dilaksanakan, dan ia tidak dijalankan secara serentak di seluruh negara. – Astro Awani