M Update, 03/06/2022 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang semua pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan melibatkan kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram memasuki jalan raya utama di bandar raya ini dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari.
Hal ini berikutan pemantauan JPJ yang mendapati terdapat pergerakan kenderaan berat memasuki laluan waktu terhad ke pusat bandar raya pada waktu kemuncak iaitu sebelah pagi dan petang yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas serta menjejaskan kelancaran aliran trafik di Lembah Klang.
“Jalan raya diwartakan sekatan sekurang-kurangnya lima kilometer dari pusat bandar, bermula dari pintu masuk pusat bandar dengan meletakkan satu papan tanda khusus di mana dicatat waktu yang tidak dibenarkan untuk kenderaan berat masuk,” menurut JPJ dalam kenyataan pada Khamis.
Antara yang diwartakan sekatan pada sebelah pagi dan petang untuk kenderaan barangan ialah semua jalan di Pusat Bandar Kuala Lumpur, Jalan Kuching bermula dari Taman Wahyu di Jalan Ipoh hingga ke pusat bandar, Jalan Genting Klang bermula dari Kolej TAR hingga ke pusat bandar dan Jalan Cheras bermula dari Taman Midah hingga ke pusat bandar.
Jalan raya yang diwartakan sekatan hanya pada sebelah petang pula antaranya ialah Jalan Kepong, Jalan Ipoh bermula dari Bulatan Kepong hingga Jalan Batu Caves, Lebuhraya Karak, Jalan Gombak bermula dari Jalan Kampung Bandar Dalam hingga sempadan Kuala Lumpur, Jalan Genting Klang dan Jalan Cheras bermula dari Jalan Pudu hingga Jalan Tenteram.
Kenyataan itu menyebut larangan kenderaan barangan memasuki jalan raya utama di ibu kota sememangnya sudah lama dikuatkuasakan namun sejak Peralihan ke Fasa Endemik, pemandu kenderaan berat dilihat telah mengabaikan peraturan tersebut dan berlaku pertambahan kenderaan yang ketara.
“Jika terdapat pemandu atau pengendali syarikat yang ingkar, tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000.
“Justeru itu, JPJ ingin menasihati pemandu dan pengendali syarikat pengangkutan kenderaan barangan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya kepada Peraturan Larangan Waktu Terhad yang telah diwartakan bagi jalan-jalan tertentu,” menurut kenyataan itu. – Bernama