M Update, 05/07/2022 – Jasad wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan kepala air dari rumah mereka di Kampung Iboi ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.
Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan itu ditemukan bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, pada jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, kedua-dua jasad mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan. Beliau berkata, pihaknya percaya bongkah kayu dilanggar arus deras dan menghempap rumah mangsa.
“Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan mangsa terperangkap di bawah timbunan kayu.
“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan diikuti mayat kedua,” katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (Sar) hari ini.
Sayani berkata, tumpuan kita seterusnya adalah melakukan pencarian remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman yang masih hilang.
Beliau berkata, operasi masih dilakukan di kawasan pencarian dan akan diperluaskan sekiranya masih belum ditemui. Kita turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) JBPM untuk melakukan operasi pencarian hari ini,” katanya. – Harian Metro