M Update, 23/09/2022 – Kes COVID-19 masih lagi menjadi tajuk berita sedangkan kewajipan berpelitup muka sudah diketepikan.
Berdasarkan trend semasa, tidak mustahil pemakaian pelitup muka dalam khalayak hanya akan tinggal sejarah sedikit masa lagi.
Lebih-lebih lagi apabila Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada minggu lalu berkata, pandemik COVID-19 kini menghampiri penghujungnya.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pula dalam satu temu bual mengatakan ‘pandemik sudah berakhir’.
Rata-rata pakar epidemiologi dan kesihatan awam tidak bersetuju dengan kenyataan itu, bagaimanapun ada segelintir yang bersetuju dengan menegaskan bahawa berakhirnya pandemik bermakna tidak ada lagi situasi kecemasan jangkitan itu.
Malaysia juga dilihat menganggap pandemik itu sudah berakhir, disokong oleh ramai pakar kesihatan.
Susulan tindakan Singapura menarik balik perintah berpelitup muka, pakar perubatan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengesyorkan negara kita juga mengambil langkah serupa, menarik balik arahan berpelitup muka di kebanyakan tempat kecuali di dalam pengangkutan awam, kemudahan kesihatan serta pusat jagaan warga emas dan lain-lain tempat yang berisiko tinggi.
“Sekarang kita sudah mampu mengawal penularan COVID-19 dengan baik berbanding pada peringkat awal, dan saya fikir atas sebab itulah orang ramai lebih yakin untuk meneruskan kehidupan,” kata Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai kepada Bernama melalui WhatsApp.
Antara faktor yang menyumbang kepada keyakinan orang ramai ialah kadar kematian yang rendah, baik di peringkat domestik ataupun global.
Di peringkat global, tempoh 12 hingga 18 September lalu merekodkan kadar kematian terendah sejak Mac 2020, iaitu hanya kira-kira 10,000 kes – penurunan sebanyak 14.65 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Dunia juga sudah berubah sejak penularan COVID-19 dikesan pertama kali pada penghujung 2019.
Kini, banyak negara termasuk Malaysia, memastikan majoriti penduduk masing-masing divaksinasi serta mempunyai akses kepada dos penggalak dan antivirus baharu bagi mencegah kes teruk dan kematian.
Di sebalik kadar kematian yang rendah, kebanyakan pakar kesihatan awam masih bimbang mengenai akibat tidak berpelitup muka pada masa akan datang.
Situasi itu, kata mereka, bukan sahaja meningkatkan risiko bagi golongan rentan tetapi juga boleh membawa penularan virus tanpa pengawasan, menyebabkan komplikasi jangka panjang dan menyumbang kepada peningkatan strain mutan yang lebih berbahaya. Ringkasnya, adakah kita mencari bala?
Bagaimanapun, majoriti pakar kesihatan tidak melihat perkara itu akan berlaku, setidak-tidaknya bukan seperti situasi kecemasan yang dilalui sebelum ini. Sekarang negara dilengkapi pelbagai kemudahan yang dapat membantu mencegah jangkitan teruk dan kematian selain sistem pemantauan yang berkesan.
Akan tetapi kata pakar, sekalipun kita sudah merendahkan peluang bagi situasi kecemasan seperti itu berulang, persiapan kita masih belum mencukupi untuk mencegah masalah yang kesannya lambat dialami pada masa akan datang.
Antara isu yang timbul daripada kelonggaran arahan pemakaian pelitup muka ialah orang awam mungkin menganggap virus korona bukan lagi satu ancaman.
“Orang ramai mungkin berasa okey, kita dah lalui bencana selama dua tahun, dan saya sudah divaksinasi serta dijangkiti beberapa kali… mungkin mereka rasa situasi itu tidaklah seteruk mana. Jadi, keadaan ini memberikan satu perasaan selamat yang palsu bahawa apa yang kita lalui ini adalah sejenis jangkitan flu bermusim. Itulah masalah yang kita hadapi sekarang,” kata Dr Vinod Subramaniam, pakar virologi molekul di Monash University-Malaysia.
Jumlah mereka yang melakukan ujian COVID-19 juga menurun.
Ahli farmasi yang ditemui Bernama berkata, jualan kit ujian kendiri merosot.
Menurut laman sesawang COVID Now, kadar keputusan positif di Malaysia adalah tujuh peratus.
Pakar kesihatan awam mengesyorkan penetapan kadar positif bawah lima peratus sebagai penanda pandemik sudah terkawal.
Jangkitan COVID-19 yang menular tanpa pengawasan bermakna lebih ramai akan dijangkiti berulang kali, sekali gus meningkatkan risiko mereka mengalami kesan jangka panjang yang berpotensi menjadi teruk.
Ahli epidemiologi, Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, pencegahan jangkitan seharusnya kekal menjadi keutamaan kerana COVID-19 mempunyai kesan jangka panjang yang tidak ketahui ramai.
“Contohnya, ada kebimbangan bahawa COVID-19 meningkatkan risiko diabetes Jenis 2 dan penyakit jantung serta kecelaruan neurologi dan psikiatri,” tambah beliau.
Sekiranya benar, penemuan itu akan menambahkan lagi beban sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
Tiga penyebab utama kematian di Malaysia ialah penyakit jantung iskemik, pneumonia dan penyakit serebrovaskular, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Satu lagi kebimbangan ialah long COVID.
Ada laporan media yang menyebut pesakit COVID-19 mempamerkan atau mengalami gejala seperti kabut otak, depresi dan batuk, selepas satu tempoh mereka pulih daripada jangkitan. Sesetengah pesakit juga melaporkan mereka menjadi kurang upaya dan tidak mampu lagi untuk bekerja.
Dr Vinod terutamanya bimbang tentang kesan COVID-19 kepada kanak-kanak dalam jangka panjang kerana kebanyakan kajian hanya membabitkan orang dewasa.
“Apa yang berlaku jika seorang kanak-kanak dijangkiti berulang kali? Inilah kebimbangan yang patut difikirkan. Namun kita tahu, walau sekali sahaja dijangkiti, boleh berisiko mengalami long COVID. Bagaimana pula jika si anak dijangkiti beberapa kali oleh pelbagai strain? Atas sebab itulah pemakaian pelitup muka masih relevan. Pelitup muka amat penting,” tegas beliau.
Dr Awang Bulgiba yang menerbitkan kertas penyelidikan mengenai isu itu, memberitahu Bernama bahawa saintis masih belum mengetahui secara mendalam tentang keadaan itu.
“(Kami masih) tidak pasti mengenai punca sebenar long COVID, dan sama ada jangkitan berulang kali COVID-19 akan memburukkan lagi keadaan long COVID selepas satu tempoh. Mengambil kira keadaan itu, ada satu kebimbangan bahawa kita menganggap SARS-CoV-2 telah menjadi lemah buat selama-lamanya, justeru tidak perlu lagi diwajibkan berpelitup muka,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak ada bukti yang menyokong kepercayaan ramai bahawa virus itu, pada akhirnya, akan bermutasi kepada sesuatu yang lemah.
Sekalipun BA-5 adalah strain Omicron yang dominan dalam kes COVID-19 dunia sekarang, subvarian BF.7 dilaporkan semakin menular di Belgium, Denmark, Jerman dan Perancis.
Setakat ini tidak ada tanda-tanda subvarian itu lebih berbahaya berbanding virus induk.
Kesemua pakar kesihatan berkenaan menekankan kepentingan berpelitup muka apabila perlu, walaupun pemakaiannya tidak lagi diwajibkan.
Dr Muruga Raj berkata penarikan balik perintah berpelitup muka disertakan dengan syarat, orang ramai harus dididik secara berterusan bahawa pemakaian pelitup muka masih penting, terutama dalam keadaan tertentu.
“Sudah tentu ramai yang berfikir jika pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, maka ia (penularan jangkitan) tidak serius. Justeru, amat perlu diberikan pendidikan dan peringatan yang berterusan tentang pemakaian pelitup muka apabila keadaan memerlukan,” katanya.
Dr Awang Bulgiba juga bersetuju dengan pandangan itu dan menambah ketidakupayaan menyampaikan maklumat kesihatan dengan baik kepada orang awam menyebabkan mereka salah faham tentang risiko penyakit itu. Beliau menegaskan betapa pentingnya data serta bahaya penyampaian maklumat yang berubah-ubah atau ‘flip-flop’.
“Pihak berkuasa kesihatan perlu berhati-hati dalam menghantar pesanan. Ini kerana tidak mudah untuk menarik balik nasihat dan menggesa orang ramai mematuhi Intervensi Bukan Farmaseutikal yang ketat jika muncul varian baharu yang lebih berbahaya. Tindakan itu juga berpotensi mencetuskan kekeliruan,” jelasnya.
Contoh pesanan kesihatan yang memakan diri ialah tentang vaksin. Pada lewat 2020, ketika pihak berkuasa kesihatan dan syarikat farmaseutikal begitu fokus pada usaha mengeluarkan vaksin dan cuba meyakinkan orang ramai agar menerima vaksin – pada masa sama menangkis keraguan dan salah maklumat – mereka mungkin menokok nambah kemampuan vaksin dalam mencegah jangkitan.
Sekalipun kira-kira 85 peratus populasi Malaysia menerima dua dos vaksin COVID-19, tidak sampai separuh yang ambil suntikan satu dos penggalak dan hanya 1.5 peratus menerima dua dos penggalak.
Pakar kesihatan memberitahu Bernama tentang kurangnya kesedaran serta sikap kesegeraan dalam kalangan masyarakat umum serta komuniti penjagaan kesihatan untuk mengambil satu dos penggalak, apatah lagi dos penggalak kedua.
“(Sesetengah) kawan, rakan sekerja saya – mereka kata vaksinasi itu sudah memadai, selain jangkitan secara semula jadi. Mungkin tidak ramai yang ambil dos penggalak kedua. Keadaan ini turut berlaku dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan,” kata Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Isunya ialah wujud kekeliruan tentang cara vaksin berfungsi. Ramai yang menganggap vaksin berperanan mencegah jangkitan dan jika virus COVID-19 tidak bermutasi, maka vaksin dapat menghalang jangkitan.
Namun virus korona bermutasi dan menjadi lebih mudah berjangkit serta semakin berbahaya menerusi Delta.
Varian semasa Omicron mempunyai jumlah mutan yang besar termasuk mengandungi bahan genetik daripada virus korona penyebab selesema biasa.
Mutasi menyebabkan Omicron dan subvariannya lebih mudah menjangkiti namun jangkitan kurang teruk. Ia juga membolehkan virus “menembusi” benteng pencegahan yang ditawarkan oleh vaksin namun tidak menjejaskan kesan perlindungan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mendapati dua dos penggalak dapat mencegah kematian sebanyak 92 peratus sementara satu dos penggalak atau dua dos vaksin adalah 82 peratus berkesan mencegah kematian. Pakar kesihatan berkata vaksin juga berkemungkinan mengurangkan risiko long COVID selain boleh mengurangkan gejala long COVID dalam sesetengah kes.
Dr Zainal berkata mungkin sudah terlambat untuk meyakinkan mereka yang berkenaan agar mendapatkan dos penggalak. Justeru katanya kerajaan wajar meningkatkan usaha dan menawarkan dos penggalak kepada sesiapa sahaja yang mahu.
“Sesetengah orang mahukan dos penggalak kedua dan mereka pergi ke klinik, namun petugas beritahu belum ada dasar untuk itu. Benar, pengambilan dos penggalak tidak wajib, namun anda wajar berikan ia kepada sesiapa yang mahu,” ujarnya. – BERNAMA