M Update, 01/12/2022 – Malaysia akan mengalami cuaca nyaman dan dingin apabila purata suhu harian dilaporkan antara 22 hingga 30 darjah celsius.
Timbalan Ketua Pengarah Strategi dan Teknikal, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata fenomena cuaca sejuk itu dijangka berterusan hingga Februari depan.
”Ia adalah susulan Monsun Timur Laut yang membabitkan perubahan angin sejuk dari tanah besar China dan juga pembentukan awan hujan berterusan bermula awal November di mana apabila awan hujan banyak, pancaran matahari agak terlindung akan menyebabkan suhu lebih rendah berbanding tempoh masa yang lain”, katanya.
Menurutnya, kawasan tanah rata di pedalaman seperti di Kelantan, Pahang dan Perak berkemungkinan akan menjadi lebih sejuk berbanding kawasan lain.
Sebelum ini, suhu di kawasan pedalaman Kuala krai, kelantan pernah dicatatkan antara 17 dan 18 celsius pada 2014.
Sementara itu, Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata faktor sejuk yang dialami berikutan angin Timur Laut yang dibawa dari Siberia.
Perubahan angin monsun akan memberi kesan kepada suhu di mana keadaan dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan sesebuah kawasan, terutamanya apabila berada di tanah tinggi seperti genting highlands suhu akan bertambah sejuk. – Buletin TV3