M Update, 02/12/2022 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi.
Kenderaan Proton Perdana membawa Perdana Menteri dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira 9.15 pagi tadi, selepas pertemuan hampir 50 minit dengan Yang di-Pertuan Agong. Anwar sempat melambai kepada hampir 40 pengamal media yang menunggu di hadapan pintu utama Istana Negara.
Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dipercayai untuk mempersembahkan senarai Jemaah Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan.
Terdahulu, Kenderaan membawa Anwar bersama beberapa kenderaan polis pengiring dilihat tiba di perkarangan Istana Negara pada 8.22 pagi sebelum masuk melalui Pintu Utama.
Pembentukan barisan Kabinet dijangka diumumkan selewat-lewatnya hari ini bagi membolehkan Jemaah Menteri Kabinet baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini. Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.
Akhbar semalam melaporkan, Anwar memaklumkan perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri kemudian dijadualkan ke Perak dan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi ini.
Selepas itu, beliau dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra di Pasar Tanjung Rambutan, lawatan tapak Klinik Kesihatan Manjoi dan kemudian solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh. – Harian Metro