Input your search keywords and press Enter.

Boleh Ganti Dokumen JPJ Secara Percuma

M Update, 23/12/2022 -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyediakan perkhidmatan penggantian dan pembaharuan dokumen secara percuma kepada mangsa banjir di negeri itu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata penggantian secara percuma itu membabitkan lesen memandu Malaysia (LMM), lesen kenderaan motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC). Katanya, pembaharuan dan penggantian membabitkan dokumen rosak, hilang atau musnah akibat banjir luar biasa melanda negeri itu.

“JPJ sentiasa membantu mangsa terjejas banjir menerusi program penggantian dan pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor dan sijil pemilikan kenderaan secara percuma.

“Bagi dokumen yang rosak dan hilang, pemilik perlu hadir mengemukakan dokumen asal yang rosak di mana-mana kaunter JPJ di negeri ini. Bagi dokumen hilang atau musnah akibat banjir, pemilik perlu mengemukakan salinan laporan polis atau salinan borang pendaftaran mangsa bencana yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pejabat daerah.

“Kita akan bekerjasama dengan JKM bagi memudahkan urusan mangsa banjir jika mereka tidak mengemukakan salinan dokumen yang diperlukan. Tiada tempoh diberi kepada mangsa banjir untuk berbuat demikian, namun kita nasihatkan mereka memohon seberapa segera sebaik keluar dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus, semalam. – Berita Harian