M Update, 27/12/2022 – Bantuan Khas Tunai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Terengganu dijangka mula diagihkan pada Januari hingga Februari depan.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata proses itu akan mengambil sedikit masa kerana pihaknya perlu meneliti serta mendapatkan senarai mangsa daripada jabatan serta agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.
Beliau berkata 10,000 KIR dijangka akan menerima bantuan itu bagi meringankan beban selepas mengalami kerugian harta benda akibat banjir teruk bermula 18 Dis lepas.
“Mekanisme (bantuan) adalah seperti amalan sebelum ini iaitu secara tunai untuk ringankan beban mangsa,” katanya.
Menurutnya bagi bantuan selain wang tunai, ia akan diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada kerajaan negeri, dan ketika ini kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir bagi membolehkan mangsa dapat pulang ke rumah dengan selamat.
“Paling penting semua mangsa dapat pulang ke rumah, untuk seminggu ini fokus kepada kerja pembersihan dahulu. Keperluan lain akan diteliti oleh JPKK masing-masing kerana masalah setiap orang tak sama,” katanya.
Sumber: Bernama