M Update, 08/02/2023 – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan di sini disambung semula awal pagi ini.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, radius pencarian diluaskan sekitar 10 batu nautika persegi dari lokasi terakhir mangsa iaitu di 1.3 kilometer barat daya.
“Saya juga telah menghubungi ibu pejabat bagi kebenaran menggerakkan aset helikopter dan pasukan penyelam untuk membantu operasi SAR yang akan disambung pada awal pagi ini.
“Pencarian SAR telah dihentikan sementara sejak tengah malam susulan jarak penglihatan yang semakin terhad dan faktor cuaca,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat SAR di Pengkalan Pernu di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando) dikhuatiri lemas di Pulau Undan kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Syakirin Ismail berkata, mangsa sedang menjalani kursus juru selam semasa kejadian.
Difahamkan, mangsa yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor hilang dalam keadaan memakai pakaian kursus serta peralatan menyelam.
Tambah Iskandar, meskipun operasi SAR dihentikan sementara tengah malam, namun usaha mencari masih diteruskan dengan bantuan komuniti nelayan yang berada di perairan tersebut.
“Mangsa dipercayai hilang di kawasan berkedalaman 40 meter dan misi pencarian ini akan mencabar jika arus laut terus kuat, diikuti angin yang kencang, sebagaimana pada hari ini,” katanya. – UTUSAN