M Update, 08/02/2023 – Penjaga gol Turki, Ahmet Eyup Turkaslan disahkan meninggal dunia akibat gempa bumi yang melanda negara itu maklum kelabnya Yeni Malatyaspor.
Lebih 5,000 orang disahkan meninggal dunia di Turki dan Syria berikutan gempa bumi itu.
“Penjaga gol kami, Ahmet Eyup Turkaslan kehilangan nyawanya selepas berada di bawah runtuhan gempa bumi. Rehatlah dengan tenang,” kata kelab itu di Twitter.
“Kami tidak akan melupakan anda, seorang yang sangat baik.”
Turkaslan, 28, bermain enam kali untuk kelab divisyen dua Turki Yeni Malatyaspor selepas menyertai pada 2021.
Bekas pemain sayap Crystal Palace dan Everton Yannick Bolasie, yang kini bermain untuk pasukan divisyen dua Turki, Caykur Rizespor, berkata di Twitter: “RIP saudara Eyup Ahmet Turkaslan.
“Sekejap anda boleh melihat seseorang di ruang istirahat, pada saat berikutnya mereka tiada.”
Bolasie menambah: “Takziah saya ucapkan kepada semua keluarga dan rakan sepasukannya di Yeni Malatyaspor. Mendukacitakan mendengar dan berharap kami semua dapat terus membantu semua orang yang memerlukan.” – Harian Metro