M Update, 27/03/2023 – Bekalan ayam negara kita dijamin mencukupi untuk sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri dan rakyat tidak perlu panik kerana jaminan bekalan diberikan sendiri oleh Jabatan Veterinar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata laporan dari semua pemain industri besar secara rasminya menunjukkan bekalan ayam cukup dan dapat menampung keperluan sehingga hari raya.
Justeru itu, diharap rakyat jangan panik dan pihak KPDN sentiasa memantau isu bekalan ayam ini dari hari ke hari.
Selain itu, isu mengenai kenaikan harga ayam pula, beliau meminta rakyat perlu buat aduan secara tepat mengikut saluran betul bagi membolehkan tindakan diambil segera. Aduan tepat diperlukan kerana kenaikan harga ayam itu mungkin hanya berlaku di kawasan tertentu dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
Pegawai penguatkuasaan KPDN juga akan mengetatkan pemantauan sepanjang Ramadan dan musim perayaan.