M Update, 24/10/2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.
Perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa.
Contohnya, keadaan mereka di sana tidak ada keupayaan untuk memasak, jadi makanan mereka perlukan makanan siap, dalam tin. Ada yang beri maklumat jika mi segera, mereka tak makan.
Sementara itu, Anwar mengingatkan badan yang tidak berdaftar, tidak telus dan tidak memiliki akaun teratur, supaya tidak mengutip derma bagi tujuan kebajikan kerana ia akan merugikan masyarakat Gaza yang memerlukan.
Mengulas bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar berkata, kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada PBSM untuk dihantar ke Gaza.
“Saya sebut dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi tadi, kita minta keizinan Kerajaan Mesir dan beliau sudah memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada PBSM atau badan lain yang kita iktiraf,” katanya.
Mengenai lawatannya ke Riyadh, Turkiye dan Mesir, Anwar berkata, banyak pengiktirafan diberikan kepada Malaysia ketika lawatannya, termasuk pihak media yang mengadakan temuramah eksklusif dengan beliau. – BERNAMA