Input your search keywords and press Enter.

Lawatan Mengejut Ke KLIA

M Update, 15/03/2024 – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah melakukan lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, bagi merasai sendiri pengalaman pelancong asing yang masuk ke negara ini semalam.

Ini kerana baru-baru ini terdapat sebuah laman web telah menyenaraikan KLIA pada kedudukan kelapan sebagai lapangan terbang terburuk di Asia berdasarkan perkongsian pengalaman pengembara perniagaan.

Bermula di Bangunan Satelit KLIA, beliau menjadi sebahagian ‘penumpang’ yang baru mendarat sebelum berjalan ke kaunter imigresen Pintu Ketibaan Antarabangsa dan kemudian beratur bersama pelancong yang baru tiba untuk pengesahan pasport dengan tempoh menunggu kira-kira 10 minit.

Pegawai kanan imigresen dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang bertanggungjawab menjaga urusan di KLIA memberitahu bahawa tempoh menunggu pada waktu puncak boleh mencecah 1 jam 30 minit atau dua jam.

Di luar waktu puncak, proses kemasukan pelancong ke Malaysia melalui pintu masuk negara di KLIA adalah kira-kira 30 minit.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pegawai imigresen, MAHB dan Polis Diraja Malaysia yang membantu dan menerangkan proses perjalanan kemasukan pelancong kepadanya.