M Update, 18/04/2024 – Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan amaran keselamatan ke tahap tertinggi selepas Gunung Ruang yang meletus beberapa kali di Kepulauan Sangihe kelmarin, mengeluarkan asap setinggi lebih 1.6 kilometer (km) sehingga memaksa ratusan penduduk dipindahkan.
Gunung Ruang, gunung berapi di Provinsi Sulawesi Utara, pertama kali meletus pada jam 9.45 malam kelmarin waktu tempatan, manakala sebanyak empat kali sepanjang tempoh semalam, kata agensi gunung berapi negara itu.
Tahap amaran bagi gunung berapi setinggi 725 meter dari aras laut itu ditingkatkan semalam ke tahap empat iaitu paras tertinggi dalam sistem amaran.
Pihak berkuasa juga memperluaskan zon selamat dari empat kepada enam km pada petang semalam di sekitar kawah.
Setakat ini, tiada laporan kematian atau kecederaan dilaporkan, tetapi lebih 800 orang dipindahkan dari dua perkampungan Pulau Ruang ke Pulau Tagulandang berhampiran, yang terletak lebih 100 km di utara ibu kota wilayah Manado.
Letusan berkenaan bukan sahaja menyebabkan penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal, tetapi juga mengganggu rangkaian komunikasi di kampung Laingpatehi, menurut BNPB.
Kerajaan daerah Sitaro mengisytiharkan status darurat dari tempoh 16 hingga 29 April ini untuk membantu usaha mitigasi bencana.
Malaysia Airlines telah batalkan beberapa penerbangan ke/dari KLIA ke Sabah, Sarawak hari ini.