Input your search keywords and press Enter.

SNBJ – Penerimaan Rumput Hibrid

M Update, 18/04/2024 – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan bekerjasama dengan pengurusan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, dalam proses penerimaan rumput hibrid bagi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ini susulan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bersetuju untuk mendermakan rumput jenis hibrid bagi kegunaan padang SNBJ, selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John.  

PSM menyatakan rasa sukacita yang tidak terhingga dan menjunjung tinggi kurniaan berpanjangan serta pertimbangan dan kebijaksanaan Tunku dalam menasihati PSM dalam mendepani segala cabaran mendatang.

Tunku Ismail bersetuju dengan sumbangan itu selepas kaji selidik yang dijalankan di padang SNBJ telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya untuk pelbagai acara.

Rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Tunku Ismail kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Ini merupakan kali kedua Tunku Ismail, yang juga pemilik JDT, membantu Stadium Nasional selepas menghadiahkan rumput Zeon Zoysia yang ditanam awal tahun lepas, menggantikan rumput jenis Cow Grass.