M Update, 19/04/2024 – Pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibolehkan untuk tidak memakai seragam atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.
JPJ memaklumkan pihaknya mengambil maklum video tular berkaitan 3 anggota penguatkuasa JPJ tidak memakai seragam atau vest ketika melakukan operasi. JPJ juga mengesahkan bahawa ketiga-tiganya lelaki terbabit adalah pegawai penguat kuasa jabatan itu.
JPJ melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidil Fitri (HRA) 2024 bermula 1 April lalu dan akan tamat esok, 20 April 2024 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.
JPJ menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, pemeriksaan pemandu bas di terminal bas sebelum memulakan perjalanan dan pemantauan di lokasi sering berlaku kemalangan termasuk menggunakan teknologi dron.
JPJ juga menggunakan teknik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.
JPJ menjelaskan bahawa pegawai penguat kuasa JPJ dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.
Namun, pegawai penguat kuasa tersebut perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah (JPJ) sekiranya diminta berbuat demikian.
Ini adalah selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan kes itu dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu dan memberikan ruang kepada PDRM untuk melakukan siasatan.