Input your search keywords and press Enter.

Kronologi Kejadian Helikopter Terhempas Di Malaysia Sejak 2015

M Update, 23/04/2024 – Kemalangan melibatkan dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak kira-kira 9.30 pagi tadi merupakan kejadian kelapan seumpama itu dalam tempoh sembilan tahun lepas.

Berikut merupakan kronologi insiden helikopter terhempas sejak 2015:

4 April 2015: Helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor mengorbankan lima penumpang termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan juruterbang Kapten Clifford William Fournier.

5 Mei 2016: Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak, menyebabkan enam terbunuh termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

4 Okt 2016: Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah, mengakibatkan 14 anggota tentera cedera.

15 Ogos 2018: Helikopter Robinson R-66 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menyebabkan dua juruterbang cedera ringan.

27 Feb 2020: Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa enam anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) terhempas di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Air Panas, Tawau. Kesemua anggota pasukan keselamatan itu selamat dengan hanya seorang cedera.

8 Nov 2020: Sebuah helikopter terhempas dan meragut dua nyawa iaitu Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati yang juga bekas pegawai TLDM dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Dua yang terselamat dalam kejadian itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter model 9M-HCA selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan.

5 Mac 2024: Sebuah helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhempas di 5 batu nautika berhampiran Pulau Angsa ketika melakukan latihan menyelamat. Empat penumpang termasuk juruterbang dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

Helikopter dengan nombor pendaftaran pesawat M72-01 itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Sumber : Bernama