M Update, 29/04/2024 – Penundaan tarikh yang masih menjadi teka-teki bagi misi pelayaran bantuan kemanusiaan “Break The Siege: Freedom Flotilla To Gaza 2024” tidak sedikitpun melunturkan semangat delegasi dari Malaysia untuk terus menghulurkan bantuan kepada penduduk di Gaza.
Penundaan ini bukanlah satu pengakhiran tetapi sebagai satu permulaan semula kepada peserta untuk kembali dengan lebih bersemangat.
Delegasi Malaysia umumnya rasa sedih apabila menerima maklumat (penundaan) ini kerana semuanya bersemangat untuk belayar sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Palestin.
Walaupun begitu, kita perlu faham keadaan yang dialami dan tekanan-tekanan dari Israel serta dari negara lain yang memang tidak ingin pelayaran ini berlaku dari awal pun.
Setiap peserta sudah dimaklumkan mengenai risiko yang mungkin dihadapi, namun tidak menjangkakan isu penggunaan bendera Republik Guinea Bissau akan dijadikan alasan oleh rejim Zionis Israel bagi menggagalkan misi ini.
Pelayaran bantuan kemanusiaan ini ditangguh ke satu tarikh yang tidak diketahui dan menasihatkan semua peserta untuk pulang ke negara masing-masing.