Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tidak Pinggir Kaum India – PM

M Update, 02/05/2024 – Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan kaum India malah pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan bagi memperkasa komuniti berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerajaan mengambil pendekatan untuk membantu setiap segmen masyarakat tanpa mengetepikan mana-mana golongan.

Anwar berkata demikian dalam program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ bersama empat stesen televisyen tempatan malam tadi.

Oleh itu, antara bantuan khusus buat kaum itu adalah menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan peruntukan RM100 juta bagi program pembangunan sosioekonomi masyarakat India manakala sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dalam Belanjawan 2024.

Peruntukan menerusi MITRA itu difahamkan antaranya merangkumi program pendidikan termasuk latihan kemahiran dan bantuan kewangan bagi menampung yuran pengajian di institut pengajian tinggi kepada keluarga B40 India; di samping program pembangunan keusahawanan dan kerjaya masyarakat India termasuk dalam bidang pertanian dan ekonomi gig.

Ia juga termasuk program pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan masyarakat India, juga dalam aspek kebudayaan, bahasa, kerohanian dan kesukanan, terutama kepada kelompok masyarakat B40.

Selain itu, inisiatif lain termasuk peruntukan dana khas RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi memperkasakan usahawan wanita India, di samping agensi berkaitan kerajaan iaitu Petronas juga menyediakan biasiswa untuk kaum India, dan syarikat itu turut menggajikan hampir 1,000 petugas dari kalangan kaum India, namun perkara itu tidak diuar-uarkan.

Tekun juga baru-baru ini telah mengumumkan dana tambahan RM30 juta menerusi Skim Pembiayaan Pemerkasaan Spumi (Spumi Goes Big). Bagi usahawan India yang ingin mengembangkan perniagaan mereka bakal mendapat manfaat daripada peruntukan itu.

Sementara itu, Anwar menepis dakwaan kerajaan tidak membantu kaum India selain menyifatkan terdapat sesetengah pihak berkepentingan dan kaya cuba menghasut untuk mempengaruhi masyarakat India.

“Jangan katakan belum dapat apa-apa, saya nak tekankan ketimbang tahun-tahun yang lalu. Ini yang paling banyak kita berikan kepada Bumiputera, dan ini juga yang paling banyak kita berikan kepada masyarakat India.

“..ataupun melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk Sabah dan Sarawak dan untuk perhatian kepada masyarakat Cina melalui perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang berjumlah puluhan bilion ringgit,” katanya.