M Update, 12/06/2024 – Indikator ‘Business Ready’ (B-Ready) oleh Bank Dunia adalah satu penilaian yang harus diberikan penekanan oleh Malaysia dengan memperkenal beberapa pendekatan dan kaedah baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pendekatan dan kaedah itu termasuk sinergi antara industri serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan lebih dekat.
Perdana Menteri berkata kepercayaan perlu diberikan kepada pemain industri untuk menetapkan jenis latihan kerana mereka lebih tahu apa yang diperlukan daripada sistem pendidikan yang konvensional.
“Ini antara usaha yang cuba kita ketengahkan untuk mempercepat kelulusan serta proses dan pada masa sama, untuk memberikan komitmen supaya kita boleh ubah suai di mana yang perlu.
“Negara tidak akan maju sekiranya terikat dengan ruang selesa dan mudah merasa baik dengan setiap kejayaan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 malam tadi. – Bernama