Input your search keywords and press Enter.

Suri Rumah Didakwa Bunuh Anak Angkat Berusia 5 Tahun

Foto: Bernama

M update, 21/06/2024 – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun, dua minggu lepas.

Tertuduh, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian kepada Iman Adelia Yusullah, 5, di sebuah rumah di Taman Malcop antara 5 hingga 10 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah kemudiaan menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vachira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suasana sedih menyelubungi sekitar luar mahkamah apabila keluarga mangsa, termasuk ibunya, hadir dari Pahang untuk mengikuti prosiding. Menurut salah seorang ahli keluarga, mangsa diserahkan ibunya yang juga rakan baik tertuduh, sejak dua bulan lalu.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri ditahan di sebuah rumah di Taman Malcop, pada 10 Jun lalu berikutan kematian anak angkat mereka yang mempunyai kesan lebam di seluruh anggota badan disyaki dipukul dengan objek tumpul.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul selain terdapat kesan luka koyak dan lebam pada kemaluan dan dubur mangsa. – Astro Awani