M Update, 24/06/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai bersama-sama hadir, ikuti dan hayati pementasan teater ‘Haji Murat’ yang akan dipentaskan selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, bermula Rabu ini.
Beliau berkata teater berdasarkan novella penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia Leo Tolstoy itu ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat.
“Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap simpatetik, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Haji Murat, terutama di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan (‘politics of dispossession’) yang kini berterusan di Palestin,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.
Karya yang berasal daripada novel pendek tulisan Tolstoy itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia Dr Victor Pogadaev dan disunting Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, sebelum diterbitkan DBP pada 2001.
Karya berkenaan yang mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentanginya, kerana ingin membalas dendam.
Malah perdana menteri berkata novella itu yang mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara, dibawanya ketika mengajar di Amerika Syarikat sebelum ini, di saat ramai ketika itu membicarakan soal Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11.
“Haji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut.
Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I, dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta.
Watak Haji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan yang zalim, dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya,” katanya.
Pementasan Teater Perdana Haji Murat yang diarahkan A Wahab Hamzah dan diuruskan Badan Budaya DBP itu melibatkan sekitar 100 pelakon termasuk nama-nama gah dalam seni teater seperti Che Kem, Dr Rusdeen Suboh dan Ard Omar. – Bernama