Input your search keywords and press Enter.

RUU Mufti Dirujuk Ke Majlis Raja-Raja Minggu Depan – PM

M Update, 11/07/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, perincian berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) mungkin akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu depan.

Beliau berkata, buat masa ini RUU itu di peringkat perbincangan untuk diperincikan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Kita sedang bincang dan dengar pelbagai pandangan… bermakna tidak ada pertikaian mengenai soal Sunnah Wal Jamaah, (kita) rujuk kepada (Mazhab) Syafie, Hanafi, Maliki atau Hambali dan pandangan-pandangan lain.

“Perincian itu ada dibincangkan dan saya serah kepada pakar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Global Madani Forum 2024 yang bertemakan ‘Catalysing The Next Civilisational Revival’, pada Khamis.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah portal bahawa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Mohd Na’im pada 2 Julai lepas.

Baginda dilaporkan bertitah demikian menerusi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang kemudiannya membuat hantaran di Facebook. – Bernama