M Update, 24/07/2024 – Lebih 180 koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dibawa dari Johor khusus untuk Pameran Raja Kita 2024.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium, Mohd Razaimi Hamat, pameran itu dilaksana selama dua bulan bermula Jumaat, 26 Julai hingga 29 September bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pameran tersebut juga membawa pengunjung mengenali lebih dekat hobi, minat dan peribadi Seri Paduka Baginda.
Inisiatif itu peluang terbaik buat rakyat untuk menghayati dan memahami keistimewaan sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.
“Jabatan Muzium amat bertuah. Kita dapat pamerkan dan terima koleksi Muzium Abu Bakar Johor berkait biografi Tuanku berdua. Antara yang menarik, koleksi kenderaan Tuanku, motosikal Harley Davidson, Morgan dan basikal zaman kanak-kanak Tuanku, begitu juga dnegan kenderaan yang digunakan pada Kembara Mahkota Johor yang dekat dengan masyarakt dan rakyat Johor,”katanya.
Pengunjung juga berpeluang melihat karya seperti lukisan, catatan dan lakaran hasil tangan Raja Permaisuri Agong. – Berita RTM