Input your search keywords and press Enter.

Zoo Johor Nafi Buka Semula 29 Ogos Ini

M Update, 13/08/2024 – Pengurusan Zoo Johor memaklumkan tarikh pembukaan semula taman haiwan itu pada 29 Ogos ini yang tular di media sosial adalah tidak sahih.

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, pihak Zoo Johor juga menafikan harga tiket masuk ke zoo terbabit seperti ditularkan.

“Pihak Zoo Johor ingin memaklumkan bahawa harga tiket dan tarikh pembukaan yang disebarkan semalam oleh pemilik akaun Instagram bernama Norhafzanora dan diulang-siar di mana-mana akaun media sosial lain adalah tidak sahih.

“Semua perkara (pembukaan semula dan harga tiket) adalah di peringkat perbincangan oleh pihak Zoo Johor dan Kerajaan Negeri Johor.

“Kami memohon mana-mana pihak tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan. Segala pengumuman berkenaan harga tiket dan tarikh pembukaan akan diumumkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, tular di media sosial tarikh pembukaan Zoo Johor yang didakwa pada 29 Ogos ini dengan harga tiket RM10 bagi dewasa, kanak-kanak (RM5) dan bukan warganegara (RM30).

Khabar angin itu mengundang keterujaan orang ramai yang berhasrat untuk berkunjung ke Zoo Johor berusia 96 tahun yang ditutup untuk proses baik pulih dan menaik taraf bermula pada pertengahan Ogos tahun lalu.